Thursday, October 23, 2014

Penulis Novel dicari

Assalamualaikum
Adakah anda berminat untuk menjadi seorang penulis novel?
Adakah anda ingin mendapatkan pendapatan tambahan hasil dari jualan novel anda?
Adakah anda tahu bahawa dunia penulisan sememangnya menjanjikan wang seumur hidup dengan bayaran royalti yang diberi?
Adakah anda berminat????
Jika berminat, ITTC akan mengadakan pengambilan kedua untuk kelas bimbingan penulisan novel. Program selama 4 bulan ini akan membimbing penulis-penulis baru menyiapkan manuskrip dan pihak ITTC akan menghantar manuskrip-manuskrip tersebut kepada beberapa penerbit untuk dicetak menjadi novel. Sekiranya manuskrip anda terpilih maka perjanjian akan ditandatangani oleh pihak penulis dan penerbit tanpa melibatkan kami.
Maksudnya....segala royalti adalah hak penulis dan pihak kami tidak mengambil satu sen pun daripada royalti anda.
Kami hanya membantu anda untuk menjadi seorang penulis hebat dan membantu mengetengahkan manuskrip anda...
Terbuka kepada mereka yang berumur 11 tahun ke atas......
Bagi pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM kami mengalu-alukan pendaftaran anda kerana mungkin rezeki anda dalam bidang penulisan dan royalti yang anda terima dapat membantu membiayai pengajian anda di pusat-pusat pengajian tinggi...
Satu-satunya bidang yang tidak mempunyai risiko...
Apa yang penting...
RAJIN menulis
ISTIQAMAH
KARYA BERMUTU
PASTI LARIS!!!!!!!!!!!!!!!!!!! insya allah..
Hubungi kami.....

Monday, April 28, 2014

Menjiwai Penulisan Anda

Sekiranya kita ingin menjadi seorang penulis yang benar-benar penulis sejati maka hendaklah kita menghayati atau menjiwai setiap penulisan kita. Apa yang dikatakan sebagai 'menjiwai penulisan'? Menjiwai penulisan bermaksud kita mencatat, mencoret, menulis dan sebagainya, dengan hati yang mana ia diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan dengan pen atau pensel dan kertas sebagai wahananya. Apabila penulisan kita ditulis dengan hati maka wujudlah satu idea, pandangan, buah fikiran, cerita dan pandangan yang dapat sampai kepada hati pembaca.

Sunday, July 21, 2013

KARANGAN FARAH NADIAH 5B 2012 SK SRI AMAN, PENANG


Perhatikan karangan yang ditulis oleh salah seorang anak murid saya sewaktu sesi P&P di makmal computer. Karangan ini dikarang dan diemelkan terus kepada saya semasa sesi tersebut berlangsung. P&P yang dijalankan adalah menggunakan blog saya ini. HEBAT KAN!!!

Kamu  berpeluang  menyambut  hari  raya  di  kampung  baru-baru  ini. Gambarkan  suasana  sambutan  perayaan  tersebut.


1. Cerlang             - Cahaya terang

2.Cerlak                 - Peluang,kesempatan

3.Ceridau               - Seperti bunyi bising orang berkelahi (ketawa beramai-ramai)

4.Decap                 - Seperti bunyi orang makan

5.Datar                  - Permukaan bumi yang rata

6.Gentayangan    - Berjalan ke sana sini,berkeliaran

 

                                                                KARANGAN

     Berakhirnya Ramadhan,kini tibalah masanya untuk  meraikan  Syawal  yang akan tiba tidak lama lagi .Seperti biasa,umat Islam di negara ini akan menyambut  Hari Raya Aidilfitri. Selalunya, kami akan merayakan Aidilfitri di Kuala Terengganu. Kami bertolak ke sana sehari  sebelum hari raya.

      Jam tanganku menunjukkan waktu menghampiri pukul  11.00 malam.Disebabkan jalan raya yang terlalu sesak,kami  terpaksa menunggu sehingga kesesakan lalu lintas reda. Alhamdulillah, kami selamat tiba di destinasi yang  dituju. Sampai di kampung kami memeluk datuk dan nenek kegirangan.Ibu dan bapaku pula menangis kesedihan sambil bersalam-salaman dengan sanak-saudara tanda kasih sayang. Nenek menjemput kami masuk ke dalam rumah.

      Mereka berbual-bual panjang kerana sudah lama tidak berjumpa diikuti dengan selang- seli  bunyi  berceridau . Kemudian,makcikku menjemput kami menjamah makanan di dapur yang telah dihidangkan.Setelah makan,datuk menunjukkan bilik  untuk kami berehat. Bapa dan abangku meminta izin  untuk keluar ke pekarangan rumah nenek bagi menikmati suasana kampung yang telah lama ditinggalkan. Kelihatan anak-anak kecil bergentayangan sekitar kawasan rumah datuk dan nenek bermain bunga api. Suasana pagi raya mula terasa. Kami bangun awal lalu mandi sunat Hari Raya Aidilfitri.Setelah selesai mandi,kami memakai pakaian yang serba baru.Bagi kaum lelaki mereka  memakai baju melayu.Kaum wanita pula,memakai baju kurung dan jubah yang disinari gemerlapan kilauan sulaman manik.

      Kami lantas berjalan menuju ke masjid bagi mendekatkan diri kepada Ilahi.Setelah selesai sembahyang,kami menziarahi  pusara sanak keluarga yang telah kembali ke rahmatullah.Kami hanya mampu mendoakan kesejahteraan buat mereka  agar mereka  tergolong dalam kalangan  orang-orang yang beriman. Tanpa membuang masa,kami pulang ke rumah bagi menjamu selera. Cerlak ini  tidak aku sia-siakan untuk menikmati pelbagai juadah yang terhidang. Ada ketupat,lemang,nasi impit dan pelbagai lagi, membuatkan ku rambang mata.Kedengaran suara orang memberi salam. Oh,rupa-rupanya  makcikku datang dari Shah Alam. Wah,gembiranya hatiku!.  Aku menjemput mereka naik ke atas untuk melawat nenekku. Kemudian aku menjemput  mereka untuk menjamah makanan yang telah terhidang.Berdecap-decap bunyi mereka mengunyah makanan. Enak barangkali.

       Pada malamnya,kami bermain bunga api.Selain itu,halaman rumah nenekku begitu cerlang sekali diterangi dengan lampu pelita. Apabila malam hampir larut,kami masuk ke dalam rumah untuk tidur tetapi pelbagai perasaan menyelubungi  lubuk jantungku.Adakalanya gembira dan adakalanya sedih entah kenapa. Apapun,ada penawar untuk perasaanku sebegini,dengan berzikir kepada Ilahi.Penawar tersebut telah berjaya  menyelamatkan hatiku dari pelbagai perasaan yang tidak enak.

         Kini tibalah masanya untuk meninggalkan datuk dan nenek.Namun hatiku  berasa begitu  berat untuk meninggalkan mereka dalam tempoh yang singkat.Abang dan kakakku membantu  mengangkat  beberapa beg lalu dimasukkan ke dalam kereta. Aku bersyukur dapat beraya bersama datuk dan nenek pada tahun ini. Kami bersalam-salaman.  Air mata  berderai-derai  jatuh menitis jelas kelihatan di raut wajah nenek dan datuk.Bapaku berjanji untuk membawa kami lagi ke sini jika mempunyai kelapangan. Kemudian kami melambai-lambaikan tangan ke  arah datuk dan nenek.Pengalaman sebegini tidak akan aku lupakan dan aku sematkan sebagai kenangan yang  terindah buatku.

           

     

 

 

 

 

 

 

Sunday, June 16, 2013

SELAMAT TINGGAL MURID-MURIDKU

Jun 2013, bermula tugas baruku sebagai Pegawai Pengurusan di IPG Teknik. Sayang untuk meninggalkan dunia perguruan namun hijrah ini adalah perlu untuk hikmah yang didambakan. Semoga Allah permudahkan segala urusanku. Namun berakhirnya tugasku di sekolah sebagai seorang guru tidak bermaksud berakhirnya dunia penulisan yang sudah sebati dengan hidupku. Insyaallah, laman maya ini akan terus menjadi tempat untukku mencurahkan ilmu dan berkarya.

Thursday, November 22, 2012

TAHNIAH....

Sekalung tahniah kepada anak-anak murid saya yang mendapat A, B dan C dalam subjek Bahasa Melayu. Anak-anak murid saya ini merupakan anak-anak murid di kelas yang paling belakang. Mereka kerap dilabelkan sebagai murid-murid bermasalah hanya kerana mereka berada di kelas yang paling corot. Ada di antara mereka yang tidak menguasai kemahiran membaca apalagi kemahiran menulis. Pernah pada awal tahun saya memohon untuk mengikuti anak-anak murid saya yang berada di kelas pertama memandangkan saya telah mengajar mereka sejak  mereka  dari Tahun 4 dan Tahun 5 lagi tetapi permohonan saya ditolak kerana ketidakpercayaan yang tinggi daripada pihak pentadbir terhadap kemampuan saya. Walau bagaimanapun saya tetap berusaha merayu untuk mengikut mereka sehingga ke Tahun 6 kerana saya yakin akan prestasi mereka yang rata-ratanya berpotensi untuk mendapat A dan B dalam peperiksaan. Saya telah menyediakan laporan pengajaran selama 2 tahun saya bersama mereka berserta strategi, kaedah dan program yang telah saya jalankan. Bukan itu sahaja graf peningkatan mereka dalam pencapaian subjek Bahasa Melayu telah saya kemukakan sepanjang 2 tahun berturut-turut. Alangkah sedihnya apabila rayuan saya ditolak dengan alasan khuatirkan prestasi BM UPSR 2012 akan jatuh sekiranya saya mengajar di kelas pertama. Maka saya diberi kelas Tahun 6 yang paling corot. Saya ambil cabaran tersebut memandangkan personaliti saya yang 'Risk Taker' yang suka akan cabaran. Tahun 6G sering dilabel sebagai murid yang tak pandai, bermasalah dan lain-lain oleh segelintir guru dan mereka sering dimarah. Namun bagi saya hak untuk belajar dan diajar ialah hak untuk semua murid sama ada mereka pandai atau tidak. Untuk mengajar kemahiran menulis kepada mereka bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh sebab itu, saya melakukan ujian diagnostik pada awal tahun untuk mengenalpasti mereka yang berpotensi untuk cemerlang, yang sederhana dan yang lemah. Setelah itu, teknik-teknik menulis seperti yang saya telah hasilkan di blog ini telah saya aplikasikan kepada mereka. Sedikit demi sedikit kemahiran menulis mula berkembang dalam diri mereka.
Saya mengamalkan sikap tegas dalam proses P&P. Setiap marah yang saya lemparkan pada mereka berserta kasih sayang seperti marah seorang ibu kepada anak. Tidak ada pilih kasih yang saya amalkan. Disamping itu unsur-unsur spiritual saya selitkan dalam kelas saya. Adab bersalam dengan guru selepas habis waktu pengajaran saya memang saya wajibkan. Ceramah-ceramah agama seperti Halaqah Sentuhan Qalbu saya perdengarkan sehinggakan mereka menjadi murid yang begitu akrab dengan saya. Saya ambil salah seorang murid tinggal bersama saya pada saat UPSR semakin hampir untuk memastikan disiplin belajarnya teratur.

Pada Peperiksaan Pertengahan Tahun dua orang murid iaitu Danial Ridhwan dan Afiq Danial telah memperoleh B dalam penulisan mereka. Namun markah yang saya tanda itu telah dipersoalkan oleh pihak pentadbir. Beliau menyemak semula kertas tersebut kerana beliau tidak percaya akan markah yang diberi oleh saya. Beliau mengubah markah tersebut dari B kepada C. Saya rasa begitu marah kerana mereka anak murid saya dan saya tahu akan prestasi yang ditunjukkan mereka. Alhamdulillah setelah keputusan UPSR diumumkan Danial Ridhwan berjaya memperoleh A dan Afiq Danial berjaya memperoleh B seperti yang saya jangkakan.

Seorang murid perempuan di kelas 6G iaitu Anis Aqilah saya rasa begitu istimewa sekali kerana dia tergolong dalam murid PROTIM sejak tahun 4 dan 5 lagi. Dia tidak tahu membaca dan menulis. Berkat kesungguhan saya dan dirinya mengamalkan semua teknik yang saya berikan dia berjaya memperoleh markah B dalam penulisan. Syukur Alhamdulillah...

Kepada semua pembaca yang mahu meningkatkan kemahiran menulis anda, jangan bertangguh lagi untuk mengamalkan teknik-teknik yang saya paparka dalam blog ini kerana sedetik anda bertangguh anda telah menangguhkan kejayaan anda menjadi penulis yang hebat.

Friday, September 21, 2012

KEPENTINGAN BERKOMUNIKASI

Adakah anda tahu bahawa kemahiran bertutur berhubung kait dengan kemahiran menulis. Hal ini adalah kerana melalui pertuturan kanak-kanak mengumpul maklumat dalam memori jangka panjang mereka. Simpanan perkataan-perkataan tersebut akan dikeluarkan secara automatik apabila tiba masanya untuk mereka gunakan. Oleh yang demikian semasa zaman awal kanak-kanak ibu bapa jangan menghalang kanak-kanak dari bertanya dan berkomunikasi. Ibu bapa perlulah membimbing mereka.